KELANTAN, 27 Disember- Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila hanya 209 penduduk terjejas banjir sahaja yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.
Kesemua mereka daripada 68 keluarga itu masih menghuni tiga PPS yang masih aktif di Pasir Mas.
Dua PPS iaitu masing-masing satu di Tumpat dan satu lagi di Pasir Mas ditutup tengah hari tadi susulan semua penduduk terjejas banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Laman web info bencana JKM merekodkan, penduduk terjejas banjir berkenaan masih berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong seramai 178 orang, diikuti Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh dengan jumlah 17 orang manakala, SK Banggol Chicha dengan 14 orang.
Sementara itu, menurut portal public info banjir JPS, Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras waspada dengan paras bacaan 7.30 meter.