KOTA TINGGI, 5 Julai - Projek Inisiatif Inovatif Sosial Malaysia (MyIS Komuniti) memperkukuh ekonomi setempat, menerusi sebuah projek inovasi dalam bidang penternakan ikan kelah bernilai RM300,000.
Projek itu dilaksanakan di Felda Linggiu dan Felda Bukit Ramun, di sini, dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yakin projek tersebut dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti hasil, selain mengurangkan risiko kerugian penternak.
"Melalui inovasi ini mereka tidak perlu berada di kolam sepanjang masa kerana alat yang dipasang mempunyai sensor tertentu untuk memberikan maklumat menerusi telefon pintar kepada penternak perkara yang perlu diberikan perhatian."
"Jadi ini satu bentuk inovasi pengaplikasian sains dan teknologi di dalam usaha ekonomi masyarakat setempat," katanya.
Beliau merasmikan Penyerahan Projek MyIS Komuniti: Penternakan Ikan Kelah dan Ikan Air Tawar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) di sini, hari ini.
Para penternak projek itu juga turut menerima latihan teknikal, bimbingan serta pemindahan teknologi.
Projek berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama Universiti Teknologi Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.