PUTRAJAYA, 29 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melaksanakan dua projek berimpak tinggi tahun ini.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad, projek tersebut adalah pemodenan pusat kawalan 'Command, Control Communications, Computers and Intelligence (C4iFRDM)' dan Sistem ePREMIS.
Projek tersebut antara lain merupakan insiatif JBPM ke arah menerajui perubahan progresif menerusi inovasi teknologi dan digitalisasi.
"Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM49 juta bagi melaksanakan projek pembangunan C4iFRDM yang merupakan sistem bersepadu (integrated system) untuk tujuan pengurusan operasi dan kecemasan", katanya semasa berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2024 JBPM di Putrajaya.
"Sistem bersepadu ini menggabungkan modul kawalan dan perintah, sumber manusia, pengawasan dan kawalan logistik, simpanan rekod secara holistik dan modul sistem pelaporan yang lebih interaktif dengan pemantauan dalam masa sebenar. Selain itu, mengoptimumkan aplikasi Sistem ePREMIS juga menjadi keutamaan JBPM pada tahun ini.
Tambah beliau, ePREMIS adalah sistem bersepadu yang dibangunkan, bagi mewujudkan pengkalan data pemain industri.
Pelaksanaanya akan memudahkan akses kepada perkhidmatan berkaitan keselamatan kebakaran dengan mengelakkan kongkongan birokrasi proses secara bersemuka yang wujud dalam penyampaian perkhidmatan sedia ada.