KOTA TINGGI, 8 Januari - Seramai 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Tinggi digerakkan dengan tujuh aset melibatkan bot penyelamat dan kenderaan untuk operasi menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ketua Zon Dua, JBPM Johor Penguasa Bomba Rasidi Md Yunus berkata, operasi menyelamat dan memindah penduduk berjalan lancar dan sistematik diselaras bersama-sama jawatankuasa bencana daerah.
"Keadaan pemantauan pasukan penyelamat khususnya bomba di kawasan Kota Tinggi kali ini adalah lancar dan terkawal dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
"Untuk makluman pihak pasukan penyelamat kita kerap melakukan rondaan dan memberikan nasihat kepada penduduk berisiko banjir," kata Rasidi kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan banjir, di sini.
Katanya, cabaran utama JBPM adalah operasi menyelamat pada waktu malam dengan jarak penglihatan terhad serta arus deras.