KUALA LUMPUR, 6 Julai- Jaya Grocer dan Grab Malaysia menawarkan promosi eksklusif melalui Inisiatif Payung RAHMAH di platform Grab dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.
Inisitif itu bertujuan membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia berikutan peningkatan kos sara hidup.
Inisiatif pertama, Pakej RAHMAH menawarkan pakej “Mix & Match” dari serendah RM18 di GrabFood manakala inisiatif kedua, Jualan RAHMAH menawarkan diskaun sehingga 40% untuk barangan keperluan harian, eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.
Inisiatif ketiga pula, Bakul RAHMAH menyokong komuniti pemandu Orang Kurang Upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas.
Inisiatif Payung RAHMAH bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Jaya Grocer, KL East Mall di sini.
(Datuk Seri Salahuddin memaklumkan Jaya Grocer, Grab Malaysia rakan strategik terbaharu
Payung RAHMAH)
"Sebanyak hampir 1,000 perniagaan telah mengambil bahagian dalam Inisiatif Payung RAHMAH bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia. Peniaga dan rakan kongsi penghantaran juga akan mendapat manfaat melalui peningkatan permintaan dan peluang pendapatan tambahan," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.
KPDN juga sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.
Bawah Inisiaif Payung RAHMAH yang diterajui KPDN, pengguna dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan di samping berpeluang mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.
Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, terutama golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.