fb fb fb fb fb

Waspada, jangan terpedaya 'tawaran tunai' program eBeliaRahmah

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Penerima bantuan program eBeliaRahmah dinasihatkan agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan 'khidmat menukar kredit kepada wang tunai' yang ditawarkan di platform media sosial.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan ini kerana eBeliaRahmah yang diterima, tidak boleh ditunaikan.

"Ia tidak boleh ditunaikan dengan wang tunai kerana kita ingin menggalakkan perdagangan dan ekonomi digital, 'cashless society', masyarakat tanpa tunai yang menggunakan Boost, Setel dan Touch N Go.

"Ada 1.7 juta perniagaan dalam negara kita menggunakan QR Code DuitNow, maka kita nak supaya mereka ini membiasakan diri dengan 'cashless society', menggunakan digital ekonomi, menggunakan Ewallet, Edompet.

"Jadi apabila ada cubaan untuk menunaikan tunai dan mereka terjebak dengan penipuan ini, saya harap kita berhati-hati," katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media, di sini pada Khamis.

(Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan)

Beliau turut menasihati orang ramai yang menjadi mangsa untuk melaporkan perkara itu menerusi talian 997 yang merupakan satu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan scammer.

Nilai ringgit bukan ukuran ekonomi negara

Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan berkata ekonomi negara bukan dinilai dan ditentukan daripada nilai ringgit semata-mata.

Sebaliknya, turut diukur melalui pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran dan kadar inflasi.

"Antara ukurannya ialah pertumbuhan ekonomi, suku pertama tahun ini 5.6 peratus iaitu pertumbuhan yang tinggi.

"Kemudian ukuran ekonomi ialah kadar pengganguran, 3.5 peratus, mana-mana bawah 4 peratus, bererti negara itu baik, guna tenaga penuh.

"Satu lagi ukuran ekonomi ialah kadar inflasi, sebelum ini 3.3 peratus, sekarang 2.8 peratus," jelasnya.

Dari segi tiga ukuran itu, ekonomi Malaysia dilihat cukup bagus, selain kadar defisit juga merupakan ukuran ekonomi negara.

Media Baharu