(Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail/FOTO JAWI)
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Kesemua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban dengan syarat perlu mematuhi ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail menerusi kenyataan media berkata petugas-petugas ibadah korban hendaklah mempunyai tahap kesihatan tubuh badan yang baik; tidak menghidap penyakit kronik; tidak mempunyai gejala COVID-19 seperti batuk, sakit tekak, selesema dan demam.
"Selain itu, para petugas juga tidak mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19 dan tidak berada dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO)," katanya.
"Ibadah korban dibenarkan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.
(Foto Hiasan)