fb fb fb fb fb

Agong zahir ucapan tahniah kepada Presiden Filipina baharu, Marcos Jr

(FOTO FB ISTANA NEGARA)

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ferdinand Romualdez Marcos Jr atas pelantikan beliau sebagai Presiden Filipina ke-17. 

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar Malaysia dan Filipina dapat terus bekerja rapat bagi membawa kemajuan dan kemakmuran kepada kedua-dua negara dan rakyatnya.

“Dalam merakamkan ucapan tahniah, Seri Paduka juga telah berkenan mengutus warkah ucapan tahniah peribadi kepada Ferdinand Romualdez Marcos Jr kelmarin.

“Malaysia dan Filipina telah menjalin hubungan rapat dan persaudaraan sejak 1959 dan sebagai negara jiran yang tidak dapat dipisahkan, kedua-dua negara turut berkongsi sejarah dan budaya yang sama,” menurut hantaran itu.


(Foto FB Istana Negara)

Marcos Jr, 64, mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-17 republik itu di Muzium Negara, Manila selepas memenangi pilihan raya pada Mei lepas, dengan memperoleh kemenangan terbesar sejak 1986.

Anak kepada Ferdinand Marcos itu menggantikan Rodrigo Duterte.

Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM32.53 bilion (US$$7.84 bilion) pada 2021, peningkatan 24.6 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020. -BERNAMA

Media Baharu