fb fb fb fb fb

'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' tema Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Konsep dan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ memerlukan penglibatan serta penyertaan menyeluruh di peringkat komuniti dan keluarga bagi menjayakan sambutan hari Kebangsaan tahun ini.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut menyeru pihak media membantu menggalakkan penyertaan menyeluruh rakyat selain menerapkan penghayatan yang ada pada logo dan tema sambutan tahun ini .

Annuar berkata ini penting kerana sambutan tidak hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, malah perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.

"'Keluarga Malaysia' merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Frasa tambahan 'Teguh Bersama' pula membawa maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan.

"Rakyat harus bersatu padu kerana kita masih belum menang, cabaran pasca pandemik masih lagi ada, semoga dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' dapat mengembalikan kehidupan seperti empat tahun yang lepas," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri, hari ini.

Pemilihan logo tahun ini berkonsepkan jalur liputan internet yang melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

"Tiga jalur biru, merah dan kuning cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya serta hidup harmoni.

"Titik merah pula melambangkan jati diri dan semangat patriotik yang menjadi teras pembentukan negara berdaulat dan berwawasan.

"Akhir sekali, kedudukan yang berselang-seli melambangkan keterbukaan dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi kemajuan bersama," katanya.

(Annuar (lima dari kiri) ketika melakukan gimik perasmian di
Majlis Pelancaran Logo Dan Tema Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri/FOTO FB K-KOMM)

Sementara itu, K-KOMM akan mengadakan tiga aktiviti utama bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Media Baharu