fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Tabung Amanah Bakun mohon SEB salur dana RM2 juta

FOTO JAPEN SARAWAK

KUCHING, 22 November- Jawatankuasa Lembaga Tabung Amanah Bakun memohon Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menyalurkan dana sebanyak RM2 juta secara tahunan sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Pengerusi Tabung Amanah Bakun, Datuk Liwan Lagang berkata, permohonan itu dibuat berikutan adanya dua empangan utama, iaitu Empangan Bakun dan Murum, yang terletak di kawasan tersebut.

Beliau menjelaskan dana itu penting untuk memastikan kelangsungan program pembangunan dan bantuan pendidikan di kawasan berkenaan.

Jelasnya Tabung Amanah Bakun telah ditubuhkan 27 tahun lalu dengan sumbangan awal RM10 juta, masing-masing RM5 juta daripada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dan sehingga kini, hanya berbaki RM6 juta, yang dijangka mampu bertahan selama tujuh tahun sahaja.

Setiap tahun, Tabung Amanah Bakun menyalurkan kira-kira RM900,000 untuk tujuan pembangunan dan bantuan pendidikan di kawasan Bakun dan Murum.

Justeru, tambahan dana daripada SEB diharapkan dapat memastikan usaha tersebut dapat diteruskan.

Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia Kuching hari ini.

Terdahulu, Tan Sri Abang Johari turut menerima kunjungan daripada delegasi Pelaburan Hartanah Berhad PHD.

Pada kunjungan itu Pengarah Urusan Kumpulan Pelaburan Hartanah Berhad Mohamad Damshal Awang Damit menyampaikan Wakalah Zakat berjumlah RM100 ribu kepada Yang diPertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta disaksikan Tan Sri Abang Johari.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE