fb fb fb fb fb

Isu kesesakan Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak bakal diatasi menjelang 2027

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto RTM

LIPIS, 22 November-Kesesakan lalulintas di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) setiap kali musim perayaan bakal diatasi menjelang 2027.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesesakan lalulintas di lebuhraya itu selesai, selepas projek naik taraf Lebuh Raya KLK dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap menjelang penghujung 2026.

“Sebabnya tahun akhir 2026 ECRL akan siap beroperasi awal tahun 2027 kemudian naik taraf jalan Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur akan siap akhir 2026.

"Jadi Insya-Allah akan ada berlaku peningkatan untuk naik taraf jalan-jalan ke Kuala Lumpur", katanya demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Pahang Rail Tourism di Stesen Kereta api Lipis di sini.

Sementara itu Kerajaan Negeri Pahang mengorak langkah dengan membangunkan satu produk pelancongan baharu yang unik dan berbeza iaitu Pahang Rail Tourism 2024.

Jelas beliau, Pahang Rail Tourism mendapat kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus itu menggunakan laluan kereta api yang  terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus melalui zon pelancongan semula jadi.

Tambahnya, tarikan utama laluan ini ialah melalui jajaran hutan yang panjang dan mendapat jolokan sebagai Old Jungle Rail.

Beliau berkata, keunikan produk pelancongan itu perlu diketengahkan untuk meningkatkan  keberadaan produk pelancongan serta memperkasa fungsi laluan keretapi.

Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi Geo Tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Bandar Kuala Lipis, Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD