fb fb fb fb fb

Kajian Pelan Induk Mobiliti Selangor di peringkat akhir - Sze Han

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 22 November-Kerajaan Negeri Selangor kini dalam peringkat akhir untuk menyediakan Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang menumpukan keperluan menyeluruh jaringan pengangkutan awam di negeri berkenaan.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata, pelan itu termasuk kemudahan hentian, mikromobiliti, e-skuter dan laluan pejalan kaki selain melibatkan mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi atau e-panggilan.

Menurutnya, usaha berkenaan adalah untuk menambah baik infrastruktur dan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam di Selangor untuk mencapai sasaran 60 peratus penggunaan menjelang 2035.

"Pada masa ini, Terma Rujukan (TOR) untuk Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor sedang dalam peringkat akhir penyediaanya.

"Sesi bengkel bersama semua PBT Negeri Selangor dengan Jabatan Teknikal telah diadakan pada 1hb hingga 4hb Ogos 2024 bagi membincangkan TOR bagi memastikan kajian yang akan dilaksanakan adalah menyeluruh dan mengambilkira dasar, strategi dan garis panduan yang berkaitan sama ada yang merangkumi di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

"Selain memberi penekanan terhadap isu-isu pengangkutan awam yang dihadapi oleh setiap PBT dan memberi fokus kepada usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selesa dan efisien kepada rakyat negeri ini", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung strategi Blueprint Pengangkutan Awam Negeri Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Berdasarkan data terkini, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor sekitar 1.1 juta penumpang, termasuk perkhidmatan dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD