KUCHING, 22 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak merekodkan sebanyak 119 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM21.5 juta sejak Januari 2024.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr. Fuziah Salleh, memaklumkan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil daripada 2,558 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri Sarawak.
“Kes penyeludupan diesel dan minyak masak paket 1 kg merupakan penyumbang utama kepada jumlah ini,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan premis sekitar Kuching hari ini.
Statistik Pemeriksaan dan Rampasan Seluruh Negara, dari 1 Januari hingga 20 November 2024, sebanyak 38,965 pemeriksaan telah dilaksanakan, menghasilkan 2,511 kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM86.93 juta.
Dr. Fuziah turut menekankan pentingnya kerjasama dengan agensi berkaitan, khususnya di kawasan sempadan, untuk membanteras penyeludupan barangan subsidi.
Operasi Ops Tiris 3.0, dijalankan atas tindak balas terhadap aduan awam ke atas barangan seperti gula pasir putih 1kg, minyak masak peket 1kg, dan telur ayam gred A, B, serta C.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Oktober 2024 di Kota Kinabalu, Sabah.
Dr. Fuziah menegaskan, usaha penguatkuasaan akan terus diperkukuh demi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan keberkesanan kawalan ke atas barangan subsidi.