PUTRAJAYA, 23 Jun- 12 orang tokoh dipilih untuk menyertai Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) dalam usaha memperkukuh institusi kehakiman syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Datuk Othman Mustapha dilantik sebagai Pengerusi JKMMS.
Beliau dibantu oleh 11 ahli jawatankuasa terdiri daripada tokoh yang berpengalaman dalam perundangan dan ahli akademik.
"Kerajaan telah bersetuju mewujudkan kembali jawatankuasa bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Islam secara holistik dan kerajaan juga turut bersetuju untuk melantik Tan Sri Haji Othman Mustapha, bekas Ketua Pengarah JAKIM selama 7 tahun.
"Saya yakin dan percaya ia akan dapat memberi sumbangan yang bermakna dan di pihak JKSM pula yang akan menjadi koordinator, urus setia kepada Jawatankuasa untuk perkasakan mahkamah Syariah ini," kata Idris kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan Ahli Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah di sini.
Menurut beliau, jawatankuasa ini telah diwujudkan pada 2017 tetapi terhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Antara 11 tokoh yang dilantik ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah dan juga Ketua Hakim Syarii Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu, UiTM.
Datuk Idris yakin, gabungan kewibawaan ahli-ahli yang dilantik mampu memberikan cadangan ke arah penambahbaikan dan juga transformasi Mahkamah Syariah di negara ini.