(FOTO HIASAN)
PUTRAJAYA, 22 Jun- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang mengkaji semula Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, sebaliknya kementerian itu akan meneliti faktor yang menjadi penyumbang calon gagal dalam subjek tersebut pada SPM tahun lalu.
"Apa yang penting untuk kita mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan anak-anak yang lahir dari sistem pendidikan ini dapat menguasai subjek sejarah pada masa akan datang.
“Dan pada masa akan datang, KPM akan memastikan jumlah murid yang gagal mata pelajaran ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas pengumuman Sasterawan Negara ke-15 di sini.
Memetik laporan Bernama, dilaporkan, seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon SPM 2021 tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Perkara itu turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan yang meminta KPM memperincikan langkah yang telah diatur bagi membantu calon yang tidak layak menerima sijil SPM.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang senarai kedudukan sekolah terbaik sebagai pengukur prestasi antara sekolah.
((Radzi (tengah) pada sidang media selepas pengumuman
Sasterawan Negara ke-15 di Putrajaya)
Beliau berkata ia sebaliknya adalah inisiatif pihak luar yang menyenaraikan sekolah terbaik berdasarkan keputusan SPM.
“Boleh disemak tahun-tahun sebelum ini pun memang tidak ada senarai yang dikeluarkan KPM. Jadi kalau ranking ini dibuat oleh pihak lain, maka itu di luar bidang kuasa kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai satu senarai sekolah terbaik SPM 2021 yang tular di media sosial baru-baru ini, selain mengundang kecaman ahli akademik dan warganet yang mendakwa penyenaraian sekolah terbaik bukan tindakan bijak.