fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Kumpulan Kerja Bersama dicadang ditubuhkan dengan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Satu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Bersama dicadang ditubuhkan di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat selepas beberapa dakwaan buruh paksa wujud.

Ia berikutan terdapat lapan syarikat Malaysia dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

Syarikat tersebut terdiri daripada pengeluar produk sarung tangan getah dan kelapa sawit. 


(Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim)

"Bagi memastikan isu buruh paksa dapat ditangani secara teratur, Menteri Sumber Manusia telah mengadakan lawatan ke Washington, Amerika Syarikat pada 8 hingga 13 Mei 2022. Semasa lawatan ini, beliau telah bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Buruh Amerika Syarikat, Jabatan Negara Amerika Syarikat dan US CBP. Semasa pertemuan ini, Menteri Sumber Manusia telah mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Bersama dapat ditubuhkan bagi memastikan adanya hubungan baik di antara kedua-dua negara. Cadangan ini disambut baik dan dipersetujui oleh US CBP," katanya.

Tambahnya, pihak kementerian juga melaksanakan pindaan terhadap beberapa undang-undang perburuhan bagi memastikan usaha membasmi amalan buruh paksa dapat dilaksanakan dengan lebih serius. 

Antara undang-undang yang telah dipinda adalah Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang telah memasukkan peruntukan berhubung buruh paksa dan akan dikuatkuasakan pada 1 September 2022.

Melalui jawatankuasa ini, Awang berkata, pelbagai program kerjasama dijangka dapat dijalankan seperti program pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan teknologi serta sesi dialog bersama pihak berkepentingan seperti kesatuan sekerja dan industri.

Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, lapan syarikat Malaysia dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO), iaitu syarikat produk sarung tangan getah dan kelapa sawit.

Pada tahun lalu, katanya dua daripada lapan syarikat berkenaan telah dilepaskan daripada perintah itu selepas mengambil langkah pencegahan dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi perkara ini.

“Ini termasuk dengan membuktikan bahawa produk yang dibuat, dihasilkan, atau dikilangkan tidak melibatkan sebarang amalan buruh paksa,” katanya

Datuk Awang Hashim menjawab pertanyaan ahli parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa.

Media Baharu