fb fb fb fb fb

Jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah terbuka terima pandangan parti politik

Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 16 Februari- Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam terbuka berbincang bagi memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa itu terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak, termasuk parti politik agar pandangan semua pihak diambil kira.

"Saya kata saya setuju jawatankuasa ini bersidang dan jumpa sesiapa pun kemukakan pandangan baik dan minta berbincang dengan semua negeri dan bincanglah dengan baik.

"Mana-mana ulama parti ingin bincang perlu mengambil sikap terbuka dan dengar pandangan mereka. Apa tanggungjawab dan tugas jawatankuasa Tun Zaki (Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi), memperkasa Mahkamah Syariah di mana di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Johor bagi ruang untuk baiki," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Masjid Jamek Tengah Berapit di sini.

Anwar berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti semua pandangan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Tambah beliau, memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah menjadi tanggungjawab bukan hanya diperingkat negeri sebaliknya ia merupakan tanggungjawab di semua peringkat.

Disember lepas, Tun Zaki dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.

Semalam Anwar berkata kerajaan Persekutuan menyambut baik titah Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), yang mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI