JASIN, 22 Disember-Suasana sedih menyelubungi sebuah keluarga di Taman Machap Indah, Machap Baru dekat sini hari ini selepas menerima mayat tiga daripada empat ahli keluarga yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.
Jasad empat beranak Lai Chee Sam dan isteri, Lai See Tin serta dua anak mereka Jonas Lai Ze Kai, 2 tahun dan Giselle Lai Yu Xi, 6 tahun, tiba di Taman Machap Indah, Alor Gajah, petang tadi.
Mendiang diberi penghormatan terakhir di kediaman waris sebelum upacara pembakaran pada 27 Disember nanti.
(Jasad empat beranak yang terkorban dalam insiden tanah runtuh Batang Kali
tiba di Taman Machap Indah/ FOTO RTM)
Bagaimanapun, menurut Ketua Kampung Machap Baru, Micheal Tai, berdasarkan maklumat daripada waris, mayat Giselle sudah dibakar mengikut upacara ditetapkan di Tanah Perkuburan Kesang, Jasin, semalam.
Setakat hari ini, 30 mangsa disahkan terkorban dan satu masih hilang, manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Polis mengesahkan 92 mangsa terlibat dalam tragedi di tapak perkhemahan, Father's Organic Farm.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed jumlah mangsa yang dilaporkan seramai 94 orang sebelum ini, adalah berdasarkan rekod pendaftaran di pusat perkhemahan.
Bagaimanapun, berlaku pertindihan dua nama dalam senarai tersebut.