fb fb fb fb fb

103 lokasi kejadian bencana di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Sebanyak 103 lokasi kejadian bencana dilaporkan seluruh negara melibatkan 71 lokasi terkesan banjir, 19 lokasi cerun runtuh, tiga lokasi jalan runtuh, enam jalan mendap dan empat lokasi kejadian jambatan rosak atau runtuh, setakat pukul 2.00 petang hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak empat lokasi kejadian masing-masing dilapor di Kedah dan Negeri Sembilan, satu masing-masing di Perak dan Selangor, tiga diJohor, lima di Pahang, 27 di Kelantan serta 58 lokasi di Terengganu.

Kesemua lokasi kejadian seperti dilaporkan Jabatan Kerja Raya ini melibatkan 44 Jalan Persekutuan dan 59 jalan negeri, menurut agensi itu.

Mengenai situasi banjir seluruh negara, lima negeri terkesan iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor merekodkan penurunan sedikit jumlah mangsa kepada 58,054 di 316 pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini daripada 72,510 mangsa di 418 PPS petang semalam.

Setakat petang tadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan terdapat empat sungai di Kelantan yang mencatat bacaan air di tahap bahaya iaitu Sungai (Sg) Lebir di Kampung (Kg) Tualang, Kuala Krai; Sg Golok di Kg Jenob, Tanah Merah; Sg Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan Sg Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Manakala keadaan sama dicatat tiga sungai di Terengganu membabitkan Sg Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sg Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman dan Sg Nerus di Kg Jeram, Kuala Nerus.

(FOTO HIASAN)

JPS melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) telah mengemas kini notis kesiapsiagaan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlaku banjir kilat bagi tempoh 24 jam.

Lokasi titik panas yang disenaraikan melibatkan 12 daerah di enam negeri iaitu Kota Tinggi, Muar, Mersing di Johor; Kuantan, Maran, Pekan (Pahang); Bagan Datuk, Hilir Perak (Perak); Klang (Selangor); Marang, Kuala Terengganu (Terengganu); dan Tuaran (Sabah).

Mengenai penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat, NADMA memaklumkan semua PKOB di negeri terjejas banjir telah diminta menentukan keperluan segera bagi kawasan yang terlibat untuk diuar-uarkan kepada badan bukan kerajaan yang sedia membantu.

Media Baharu