fb fb fb fb fb

Ahmad Azfar tampil juara Tilawah di Algeria

(FOTO www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia)

SEPANG, 23 Disember-Qari cilik dari Melaka, Ahmad Azfar Azraie berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah menjuarai pertandingan Musabaqah Mazamir Dawud peringkat antarabangsa di Algeria.

Menurut bapanya, Azraie Abdul Hak, ini adalah penyertaan kedua Azfar setelah menjadi naib juara pertandingan tilawah al-Quran Antarabangsa Qatar pada 19 Mac yang lalu.

"Tilawah kita biasa pagi bagi ayat, malam bertanding tapi kalau macam disana, malam ayat pagi esok tu bertanding kemudian selepas bertanding semua habis semua bila layak je malam tu juga dia akan bagi ayat, jadi program bagi saya, sangat padat", katanya kepada media.


(Qari cilik dari Melaka, Ahmad Azfar Azraie bersama ibunya sejurus selepas tiba di
Lapangan Terbang KLIA /FOTO www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia)

Qari berusia 10 tahun itu memenangi kategori kanak-kanak bawah 15 tahun dalam pertandingan Musabaqah Mazamir Dawud yang akan bersiaran pada bulan Ramadhan nanti di saluran televisyen Al-Shorouk di Algeria.

Azfar yang ditemui di KLIA selepas tiba dari Algeria juga pernah memenangi Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Kebangsaan 2022 di bawah anjuran Lembaga Penasihat Pendidikan Agama Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Julai lalu.

Mazamir Daoud yang juga bermaksud suara lantunan indah Nabi Daud, merupakan acara tahunan dan turut disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen satelit Al-Shorouk.

Ia ke udara sejak 2014 sebagai program mingguan sebelum dijadikan acara pertandingan bertaraf antarabangsa untuk remaja dari seluruh dunia oleh penerbitnya, Rizwan Hussein.

Media Baharu