fb fb fb fb fb

JAS komited bendung jerebu, pemantauan 24 jam banteras pembakaran terbuka

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan 4,247 rondaan darat dan 859 penerbangan dron bagi mengesan serta membanteras kegiatan pembakaran terbuka yang menjadi punca utama jerebu.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, operasi berterusan itu membawa kepada pengeluaran 58 notis arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun terhadap pesalah yang melanggar undang-undang berkaitan pencemaran udara.

Beliau menjelaskan, langkah agresif ini diambil susulan peningkatan bilangan kawasan panas dan keadaan cuaca kering yang menyumbang kepada pembentukan jerebu. Katanya, jerebu bukan sahaja menjejaskan jarak penglihatan dan keselesaan, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, khususnya warga emas, kanak-kanak dan pesakit pernafasan.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga alam sekitar negara ini kekal terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang. Sokongan daripada media sebagai satu keluarga besar dalam menjayakan misi kita bersama bukanlah suatu yang mustahil kerana kejayaan sebuah perancangan hanya dapat dicapai dengan sokongan padu semua pihak,” katanya.

Bagi memastikan pemantauan berkesan, katanya, sebanyak 68 stesen pemantauan udara beroperasi 24 jam sehari di seluruh negara menerusi Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) di Putrajaya. Maklumat daripada stesen ini digunakan untuk menentukan status Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberi amaran awal kepada orang awam.

Di peringkat serantau, Malaysia komited menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi menyelaras tindakan bersama negara jiran, katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus Ketua Pengarah Alam Sekitar Suara dan Cerita Kita (e-Waste dan Jerebu) di sebuah hotel di ibu negara.

3107 NSL LIBAT URUS JAS2Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE