ALOR SETAR, 18 Disember- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah bersama cawangan Khas Polis Kontinjen Kedah berjaya membongkar taktik dua buah kilang yang berselindung di sebalik kilang kayu dengan menjalankan aktiviti buangan terdiri daripada sisa plastik dan buangan terjadual SW 404 iaitu sisa klinikal tanpa lesen yang sah.
Kilang terbabit berada di Mukim Pinang Tunggal, Kuala Muda, Kedah.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, "operasi itu dilakukan berikutan aduan pencemaran bau sisa plastik tanpa alat kawalan.
"Kilang pertama merupakan kilang kayu yang tidak berlesen dan kilang kedua yang ditemui boleh diakses dari dalam kilang pertama," katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati, kilang kedua menjadi tempat penstoran buangan sisa plastik dan buangan terjadual SW 404 iaitu sisa klinikal.
Turut ditemui sisa klinikal seperti bekas-bekas kit ujian kendiri COVID-19, picagari dan jarum yang dihancurkan dan dibasuh bagi tujuan kitar semula.
Air sisa buangan kemudian disalurkan ke kolam takungan dan dilepaskan tanpa rawatan ke longkang awam dan seterusnya memasuki Sungai Muda.
Sungai itu merupakan sumber air bagi bekalan air minum sebahagian besar Negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Semasa operasi dilakukan terdapat sekumpulan pekerja asing cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
Sharifah Zakiah berkata, "kilang pemprosesan plastik haram serta sisa klinikal ini dipercayai didalangi oleh warga China dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menentukan sama ada buangan ini dari sumber tempatan atau dibawa dari luar negara."
JAS Kedah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana didapati menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik terpakai tanpa kelulusan.
Perkara itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 34 A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang membawa hukuman penalti RM500,000 dan atau penjara 5 tahun.
Bagi kesalahan memproses buangan terjadual sisa klinikal tanpa kelulusan EIA, penalti yang sama boleh dikenakan bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
Manakala bagi kesalahan peletakan Buangan Terjadual, premis boleh dikenakan penalti RM500,000 dan mandatori penjara lima tahun.
Selain itu premis juga boleh dikenakan tindakan kerana beroperasi tanpa lesen dari JAS dan dikenakan tindakan bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun.
Kompaun sebanyak RM2,000 setiap satu juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
JAS Kedah akan turut memohon kepada Ketua Pengarah Alam Sekitar untuk Perintan Larangan bawah Seksyen 34AA dikenakan ke atas premis dan melakukan Penahanan Operasi Kelengkapan.