fb fb fb fb fb

Pertumbuhan industri media digital negara tingkat pelaburan tempatan, antarabangsa - Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Pertumbuhan industri media digital di Malaysia bakal mendorong peningkatan pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam infrastruktur teknologi dan komunikasi.

Justeru, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan terus komited menyokong kerjasama secara 'menang-menang' antara pemain industri dalam dan luar negara, sekali gus menjadikan negara sebagai hab ekonomi digital di peringkat global.

Katanya, ketika ini negara sudah mula mengalami perubahan ke arah penggunaan media digital.

Ia dapat dilihat menerusi peningkatan pengguna yang beralih kepada platform dalam talian termasuk berita, maklumat dan hiburan.

"Memandangkan ekosistem digital terus berkembang, kemungkinan kesan ekonomi media digital akan berkembang, sekali gus membentuk kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital global. Dapat juga dilihat populariti perkhidmatan penstriman digital semakin meningkat. Kedua-dua platform tempatan dan antarabangsa mempunyai peluang yang cerah dalam pasaran Malaysia,"kata Fahmi ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran perkhidmatan televisyen berasaskan langganan, 'OK Vision' di sini.

Pada majlis itu, penyedia perkhidmatan televisyen langganan tempatan, Ansat Broadcast Sdn. Bhd media terbesar di Indonesia, Kumpulan MNC memperkenalkan platform media digital hiburan baharu, 'OK Vision'.

'OK Vision' adalah perkhidmatan televisyen dan pengedaran kandungan langgan terkini untuk pasaran Malaysia dengan keseluruhan 35 saluran dijangka bermula tahun ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menyambut baik mengenai aspek komunikasi dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Ini kerana kerajaan menyasarkan sumbangan ekonomi digital negara pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

"Secara umumnya daripada aspek komunikasi apabila kita terlibat dalam bidang seperti ini termasuklah penghasilan karya-karya, sama ada filem, sinetron dan sebagainya, ia bukan hanya memaju pertumbuhan ekonomi tetapi memberi peluang untuk kita mengangkat cerita-cerita kita sendiri. Saya lihat dengan adanya pemain-pemain baharu yang bersedia membuat pelaburan termasuk menghasilkan bahan kandungan yang berkait rapat juga dengan penonton," kata Fahmi.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan bentuk tindakan terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan sedia ada untuk mengakses perkhidmatan 5G.

Fahmi berkata telco perlu memastikan tiada sebarang caj tambahan dikenakan untuk perkhidmatan 5G dan perkara itu telah dibawa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menjelaskannya lagi, isu utama yang perlu diberi perhatian adalah keseluruhan kos infrastruktur, sehinggalah proses menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) menggunakan dana awam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM