KOTA BHARU, 18 Disember- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM35.8 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi bencana pada tahun 2023 dan 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebanyak RM13.7 juta melibatkan peruntukan persekutuan manakala RM22.1 juta di bawah peruntukan negeri.
Menurutnya, JKM juga telah diperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk pembelian makanan teknologi retort untuk kegunaan makanan mangsa banjir dalam tempoh 24 jam.
"Kalau mereka memerlukan tambahan mereka akan maklumkan bahagian JKM negeri untuk kita buat penambahan, sekiranya ada kecemasan baru kita mohon lagi kalau tidak cukup sebab kami tidak mahu membeli terutama sekali barang makanan yang sudah luput jadi lebih baik kita anggarkan mana yang cukup dan diperlukan," katanya.
Mengulas lanjut,Nancy berkata selain itu, seramai 5,167 pegawai dan kakitangan sedia digerakkan pada bila-bila masa dengan dibantu 157 kaunselor dan 864 pasukan sokongan psikologi (PST).
“Bagi melancarkan pengoperasian di PPS, seramai 8,543 sukarelawan JKM juga sedia untuk digerakkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dekat Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Nancy berkata bagi pengoperasian di PPS, sebanyak 47,635 collpasible tent disediakan untuk memberikan keselesaan kepada mangsa bencana melibatkan 8,481 PPS yang dikenal pasti seluruh negara, yang mampu menampung sebanyak 2.15 juta penduduk pada satu-satu masa.
Sehingga kini, JKM mempunyai lapan buah depoh, 137 stor di daerah, 60 mini depoh kontena dan 580 pangkalan hadapan, yang menempatkan keperluan asas mangsa bencana.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai dakwaan penipuan segelintir penduduk terjejas banjir yang berdaftar di PPS,Nancy menyerahkan perkara itu kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk tindakan selanjutnya.
Pada masa sama beliau berharap pemimpin setempat dapat memainkan peranan mereka untuk membantu agensi kerajaan dan negeri bagi mengelak berlakunya kekeliruan.