fb fb fb fb fb

JAS Kedah kenakan kompaun RM2000 pembakaran terbuka

ALOR SETAR, 25 Mac - Sebanyak 117 aduan berhubung pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dari tempoh 1 Januari hingga 23 Mac lalu.

Kebanyakan aduan yang diterima menjurus kepada pembakaran terbuka di kawasan seperti taman perumahan, kampung serta kawasan komersial.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata setakat ini kesemua aduan yang dilaporkan telah disiasat pihak JAS Kedah.

"JAS Kedah komited untuk menangani isu berkenaan dan akan mengenakan kompaun kepada pihak yang melanggar larangan pembakaran terbuka. 

"Kompaun RM2000 bagi setiap satu longgokan pembakaran yang dilakukan.

"Jika pembakaran itu merebak ke kawasan lebih besar, pihaknya akan syorkan kertas siasatan dibuka dengan denda maksimum sehingga RM500,000," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
JAS Kedah juga mengedarkan risalah mengenai larangan pembakaran terbuka kepada penduduk setempat dan melakukan rondaan dari semasa ke semasa.
 
Sharifah Zakiah berkata pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
 
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan bertujuan mencegah pembakaran terbuka yang mana boleh menyebabkan jerebu serta menjejaskan kualiti udara.

GRACE AISYAH KEDAYAN