PASIR MAS, 25 Mac - Paras air Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia-Thailand mulai menyusut sejak tiga minggu lalu.
Menurut seorang penduduk, Aziz Osman berkata, paras air mula menunjukkan penyusutan tiga minggu lalu dan mulai kering kira-kira seminggu kebelakangan ini.
Beliau berkata, situasi itu sering kali berlaku sekiranya Kelantan dilanda musim kemarau yang berpanjangan.
Katanya, ketika ini ada kawasan Sungai Golok yang mana airnya masih lagi paras dalam namun sekiranya kemarau berterusan, air sungai tersebut akan menyusut sehingga paras betis.
Menurutnya, setakat ini tidak ada penduduk yang cuba menyeberangi sungai tersebut dengan berjalan kaki kerana kawalan ketat pihak berkuasa Malaysia dan juga Thailand.
"Sungai ni dah kering bermula hujung bulan Februari lagi. Bermula kering macam biasalah, macam tahun lepas juga. Pesta air akan ada biasanya selepas puasa. Sebab bila air sungai kering, akan nampak pasir sampai betis. Cuma sekarang ni tak boleh meredah air. Tak boleh pergi ke seberang, cuma kalau nak bermain air sungai tu bolehlah," kata Aziz Osman.
"Kerap kali dah berlaku, boleh dikatakan sepanjang tahun akan berlaku air sungai kering, sampai satu tahap boleh terjadi pesta air. Sebelum tu air sungai ni lagi kering berbanding sekarang. Mungkin dalam masa dua minggu lagi kalau perkara ini berterus, pesta air akan berlaku lagi seperti sebelum ini," kata Amran Awang.
"Keadaan Sungai Golok sekarang ini kering disebabkan berlakunya musim kering. Kalau tidak disebabkan bulan puasa, memang ramai yang datang berpesta. Tapi ada jugalah beberapa orang yang datang pada waktu petang. Biasanya anak kecil ditemani ibu bapa turun ke sungai untuk bermain," kata Azlina.
Menurut Azlina lagi, sudah menjadi kebiasaan penduduk setempat mengadakan pesta air setiap kali kemarau namun disebabkan bulan Ramadan ianya tidak dilaksanakan.
Namun katanya, jika kemarau berterusan, tidak mustahil pesta air akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri nanti.
Tinjauan RTM di beberapa lokasi di sepanjang Sungai Golok mendapati beting pasir mulai timbul dan ada dua lokasi yang dasarnya agak cetek dalam sekitar 0.3 meter.