
SUBANG JAYA, 26 Ogos – Jabatan Penerangan (JAPEN) menyasarkan pelaksanaan program Pentarama X Kelab Malaysiaku di lebih 80 sekolah menengah di seluruh negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
- Gabungan Pentarama dan Kelab Malaysiaku menggunakan infotainmen untuk memupuk nilai patriotisme serta semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.
- Program dilaksanakan sejak 2024 di 249 sekolah; SMK Subang Jaya merupakan sekolah ke-87 tahun ini.
- Menerima maklum balas positif daripada guru dan pelajar, menambah elemen kokurikulum serta meningkatkan penghayatan nilai kenegaraan.
Program yang menggabungkan elemen persembahan dan hiburan bermaklumat menerusi Pentarama, iaitu Persembahan Nyanyian, Tarian dan Drama, dengan aktiviti kenegaraan Kelab Malaysiaku itu bertujuan memupuk nilai patriotisme dan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Jaya, SS14, menjadi sekolah ke-87 yang menyertai inisiatif berkenaan pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Erwin Khairul Ahmad berkata, program berkonsepkan infotainmen dan didik hibur itu telah dilaksanakan di 223 sekolah di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2024.
“Dengan adanya program ini, kita menerima maklum balas positif daripada guru dan pelajar, selain menjadi pendekatan tambahan kepada pendidikan berasaskan kurikulum di sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan di SMK Subang Jaya, hari ini.
Menurut Erwin, penerapan unsur hiburan serta penglibatan aktif pelajar dalam program itu turut membantu mendekatkan golongan muda dengan maklumat berkaitan kerajaan, selain menyemarakkan semangat kenegaraan.
“Apabila kita ada sedikit unsur-unsur hiburan dan penyertaan daripada pelajar-pelajar, kita rasakan bahawa pelajar-pelajar ini dia rasa lebih dekat dengan agensi kerajaan dan juga lebih dekat dengan negara melalui program-program yang telah kita susun,” katanya.
Program di SMK Subang Jaya itu disertai 1,051 peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Alumni.
Antara pengisian program termasuk persembahan lagu patriotik, kuiz dan sesi interaktif bersama pelajar bagi meningkatkan penghayatan terhadap nilai kenegaraan.
Erwin turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan atas kerjasama berterusan dalam menjayakan program berkenaan di sekolah terpilih di seluruh negara.