fb fb fb fb fb

JAPEN Perlis anjur Program Merdeka Komuniti Keluarga Malaysia

PADANG BESAR, 31 Julai- Bagi menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, bermula hari ini Jabatan Penerangan Negeri Perlis menganjurkan Program Merdeka Komuniti Keluarga Malaysia Kampung Belukar Lenga dan Kubang Tiga.

Dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Chuping dan Komuniti Keluarga Malaysia Kubang Tiga dan Belukar Lenga, program bermotosikal berkenaan disertai 50 peserta terdiri komuniti Siam.

Exco Negeri yang juga ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata,dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, ianya selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang berbilang kaum.

Program turun padang bersama masyarakat ini untuk meningkatkan momentum sambutan Bulan Kebangsaan melalui penglibatan seluruh rakyat dari pelbagai peringkat umur dan bangsa serta mengajak orang ramai mengibar Jalur
Gemilang.

Sepanjang konvoi, peserta singgah di beberapa buah rumah masyarakat Siam bagi memasang Jalur Gemilang.

"Kita harap komuniti Siam dapat bersama sebagai rakyat Malaysia terutama sekali dalam daerah Chuping ini kita ada kaum Siam yang minoriti.

"Jadi kita harap kaum Siam dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan ini untuk kita sama-sama sebagai sebuah Keluarga Malaysia, kekalkan kesepaduan kita terutama sekali untuk melihat keharmonian,mengekalkan kemerdekaan negara dan kita sama-sama memupuk kasih sayang itu yang penting," kata Asmaiza.

Beliau ditemui media ketika mengetuai Program Merdeka Komuniti Keluarga Malaysia Kampung Belukar Lenga dan Kubang Tiga bersama Pengarah Penerangan Negeri, Azrul Hassan dan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Kubang Tiga dan Belukar Lenga, Sian Wing.

Program ini akan menjelajah ke semua 45 Komuniti Keluarga Malaysia seluruh Perlis sehingga menjelangnya Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.


(Exco Negeri yang juga ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad mengetuai Program Merdeka Komuniti Keluarga Malaysia
Kampung Belukar Lenga dan Kubang Tiga bersama Pengarah Penerangan Negeri, Azrul Hassan
dan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Kubang Tiga dan Belukar Lenga, Sian Wing)

Media Baharu