fb fb fb fb fb

Jangka hayat vaksin COVID-19 Convidecia dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Permohonan variasi daripada Solution Biologics Sdn Bhd berhubung pengemaskinian tempoh jangka hayat produk bagi vaksin COVID-19 Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection telah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A Halim berkata tempoh jangka hayat baharu yang diluluskan adalah daripada 15 bulan kepada 18 bulan, apabila disimpan pada suhu 2 hingga 8 darjah celsius.

Pelanjutan jangka hayat itu melibatkan vaksin yang dikilang di CanSino Biologics di China dan yang dikilang di Solution Biologics, Malaysia.

Kelulusan diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

Bagaimanapun kelulusan pelanjutan jangka hayat itu adalah secara retrospektif, bermaksud kelulusan tersebut juga terpakai kepada semua stok termasuk semua stok yang telah diterima sebelum variasi pelanjutan tempoh jangka hayat diluluskan.

Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan di Malaysia telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA.

(Foto hiasan)

Media Baharu