SEPANG, 21 Januari - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Serantau Muslim akan mengagihkan sebanyak RM300, 000 hasil sumbangan rakyat Malaysia dalam misi Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria.
Pengerusi Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd Nor berkata ketika ini terdapat dua juta pelarian Syria dan ia merupakan sebahagian misi membantu pelarian Syria menghadapi musim sejuk serta masalah inflasi yang berlaku di Lubnan.
Misi disertai 12 orang disertai oleh beberapa orang sukarelawannya bersama pendakwah selebriti, Ustaz Yaakub Yusra dan Ustaz Tido atau nama sebenar, Khailil Razak.
“Ketika pandemik COVID19 sepanjang dua tahun lalu, Serantau Muslim telah menghantar amanah para penyumbangnya ke sana bagi memenuhi sebahagian keperluan mereka melalui rakan mereka.
“Kini Serantau Muslim boleh bersua muka dengan para pelarian yang memerlukan untuk mengagihkan bantuan.
“Pada misi kali ini juga, Serantau Muslim akan meneruskan agihan bantuan set pemanas, pakaian, makanan, tilam dan selimut kepada yang masih memerlukan,” katanya ketika pelepasan misi Kemanusiaan Musim Sejuk Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) semalam.
(Flag Off Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Untukmu Syria di KLIA semalam/FOTO Facebook Serantau Muslim)
Serantau Muslim bakal menjejakkan kaki ke Lubnan bagi melaksanakan misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria bermula 20 sehingga 27 Januari ini.