fb fb fb fb fb

Jangan padam aplikasi MySejahtera, masih relevan diguna pakai

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Jangan padam aplikasi MySejahtera kerana ia masih relevan diguna pakai, khusus bagi membantu pengurusan sistem kesihatan negara.

Aplikasi yang awalnya sebagai pengawasan penularan wabak COVID-19, kini telah diubah suai dengan ciri baharu yang lebih pintar untuk diguna semula menjadi aplikasi kesihatan awam.

Ketua Unit MySejahtera, Kementerian Kesihatan, Dr. Mahesh Appannan berkata MySejahtera akan terus memainkan peranannya khusus dalam kehidupan masyarakat negara ini sehingga beberapa tahun akan datang.

"Walaupun ramai yang tidak lagi menggunakan MySejahtera tetapi kita masih lagi melihat banyak interaksi, satu fungsi yang penting di sini adalah 'modul infectious disease tracker' dimana ia memperkasakan individu untuk melihat kepada kejadian penyakit berjangkit di sekeliling mereka.

"Itu adalah salah satu cara bagaimana kita pergi kepada salah satu cara kesihatan baharu di mana ia bukan lagi interaksi di antara petugas kesihatan dan seorang pesakit tetapi pesakit itu diperkasakan untuk menjaga diri mereka sendiri," katanya.

(Dr. Mahesh Appannan)

Beliau menjelaskan demikian selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022, di sini hari ini.

Antara versi terbaharu MySejahtera, selain mengesan penyakit berjangkit termasuk Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), mampu menyimpan maklumat kesihatan pengguna dan rekod imunisasi kanak-kanak untuk bayi yang dilahirkan mulai 1 Julai 2022.

Setakat ini hampir 7 juta rakyat Malaysia masih menggunakan fungsi MYSJ trace bagi pengesanan kontak rapat, biarpun kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR apabila memasuki premis atau tempat awam lain, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Media Baharu