fb fb fb fb fb

Jangan mudah terpedaya khabar angin krisis makanan berlaku tahun ini

 



POKOK SENA, 28 Januari- Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya krisis makanan
akan berlaku pada tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Romani Wan Salim berkata, kerajaan menerusi agensi dan jabatan berkaitan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan keperluan harian di pasaran tempatan mencukupi.

Romani memaklumkan, bekalan barangan keperluan untuk musim perayaan khususnya Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi juga mencukupi.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Kedah juga turut melakukan pemantauan bagi memastikan para peniaga mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

Katanya, isu kekurangan atau ketiadaan sesetengah barangan keperluan di pasaran hanya berlaku dalam tempoh waktu yang singkat dan kembali pulih selepas itu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bazar Rakyat Pemuda Sejahtera parlimen Pokok Sena di Masjid Al-Maarif Tanjung Musang, Pokok Sena.

Jelas Romani, mereka yang didapati sengaja menyebarkan dakwaan tidak benar yang bertujuan untuk menimbulkan kegusaran rakyat boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Media Baharu