KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang menggunakan isu Palestin dengan tujuan untuk memecah belahkan rakyat di negara ini.
Menurut Anwar, sebarang keputusan berkaitan isu berkenaan dibuat secara bersama dengan negara-negara Islam terutamanya Asia Barat.
“Apa pun keputusan kita runding bersama, saya tahu sesetengah pihak kurang sabar, dia mula menyerang sana-sini.
"Saya ingin katakan keputusan kita buat secara bersama, dengan negara-negara Islam terutamanya sekitar Palestin.
“Jangan gunakan isu ini untuk memecah belahkan kita. Belajar daripada pengalaman. Masa kita di sini untuk perkuatkan perpaduan kita, pertahankan kebebasan kita dan hak kita", katanya ketika berucap pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata di sini pada Selasa malam.
Dalam perkara berkaitan, Perdana Menteri turut berkata Malaysia menyokong pendirian Mesir yang membenarkan kira-kira 200 kontena bantuan kemanusiaan masuk melalui sempadan Rafah.
Jelas Perdana Menteri, sokongan tersebut dizahirkan pada pertemuannya dengan Presiden Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, Isnin lepas.
"Sebab itu, Presiden Mesir(Abdel Fattah), tegas membuka sempadan Rafah bagi membenarkan 200 kontena bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
"Rakyat Gaza kini tidak cukup bekalan makanan, ubat-ubatan serta terputus bekalan air dan elektrik. Terdapat pihak yang bercakap tentang hak asasi , namun membiarkan rakyat di Gaza kebuluran.
"Atas sebab itu, saya menyatakan kepada Presiden Abdel Fattah, Malaysia membuat keputusan menyokong pendirian Mesir", katanya.
Terdahulu, ribuan rakyat membanjiri stadium bagi menyatakan solidariti kepada Palestin yang turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara.