KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan dia menerima banyak ugutan daripada negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahan nasib rakyat Palestin.
Tegas Anwar, dirinya tidak akan sesekali gentar terhadap ugutan berkenaan, malah akan terus konsisten memperjuang nasib rakyat Palestin yang ditindas Zionis.
"Saya terima banyak ugutan. Saya sebut kamu salah pilih orang.
"Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak takut terima ugutan sebegitu dan kita akan lawan", katanya ketika menyampaikan pidato dalam Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tertinggi yang diberikan oleh negara-negara Arab kepada Malaysia atas peranan dimainkan dalam mengangkat isu konflik Palestin-Israel.
Bagaimanapun, kebanyakan pemimpin negara Islam yang ditemuinya baru-baru ini mengakui, konflik berkenaan sukar ditangani ekoran kesombongan dan sikap ego Israel yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
"Ini satu kegilaan apabila membenarkan pembunuhan manusia, hospital dan sekolah dibom dan dimusnahkan.
"Ini merupakan tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel menceroboh Palestin, mereka (AS dan UK) diam membisu", kata Anwar.