KUALA LUMPUR, 21 April- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, mengingatkan masyarakat agar tidak tergesa-gesa mengeluarkan pandangan hukum agama tanpa rujukan kepada pihak berautoriti seperti mufti dan institusi berwibawa.
Beliau menegaskan bahawa hukum agama merupakan perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh dan disiplin ilmu yang tinggi.
“Keutamaan ilmu dan adab perlu sentiasa dijunjung dalam setiap perbahasan berkaitan agama, demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Jelasnya, perbincangan agama yang tidak berpaksikan disiplin ilmu boleh mencetuskan kekeliruan serta menggugat keharmonian negara, terutama apabila melibatkan ibadah rukun Islam dan proses demokrasi yang sedang berjalan.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk memberi ruang kepada para mufti dan ilmuwan bertauliah untuk memberikan pandangan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.