fb fb fb fb fb

Ilustrasi Jalur Gemilang: Tindakan ke atas penyunting akhbar berasas – Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil (dua, kiri) bercakap kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) pada Lawatan Kerja Menteri Komunikasi di Taman Sri Skudai hari ini / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 21 April- Tindakan menahan penyunting akhbar berbahasa Cina susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap adalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, siasatan dijalankan untuk mendapatkan keterangan lanjut dan bukan bertujuan menjatuhkan imej mana-mana pihak.

“Terdapat tiga aspek siasatan yang terlibat. Pertama, bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (kendalian KDN) kerana kesalahan pertama kali dikesan dalam edisi cetak akhbar terbabit. KDN telah ambil langkah sewajarnya,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Fahmi berkata, siasatan melibatkan beberapa agensi berkaitan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Balairaya Taman Sri Skudai, Johor Bahru.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE