fb fb fb fb fb

Isu Menara KL: Tindakan berlandaskan undang-undang

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 21 April- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa isu peralihan konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak memihak kepada mana-mana pihak berkepentingan.

Beliau berkata, notis pengosongan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bukan satu bentuk penindasan, sebaliknya merupakan tindakan sah berasaskan undang-undang.

“Tindakan yang diambil adalah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Menara KL adalah milik penuh kerajaan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berhak mengambil langkah yang wajar,” katanya.

Fahmi menambah, isu berkenaan kini dalam proses perundangan di mahkamah dan meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada sistem keadilan berjalan tanpa sebarang tekanan atau spekulasi.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Balairaya Taman Sri Skudai, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan menegaskan, Menara Kuala Lumpur merupakan aset milik kerajaan dan bermula 1 April lalu, operasi serta penyelenggaraan menara ikonik itu telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Sehubungan itu, kehadiran syarikat terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di premis tersebut selepas 31 Mac dianggap tidak sah.

“Dua notis pengosongan telah dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 April dan 9 April 2025,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, sebarang urus niaga atau operasi yang masih dijalankan oleh MKLSB selepas tarikh tersebut adalah tanpa kebenaran kerajaan.

Penutupan sementara itu juga dilaksana demi keselamatan dan keselesaan pengunjung, selain memberi ruang kepada pengurusan baharu melaksanakan proses pembaikan.

Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan kelak menerusi saluran media rasmi kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE