fb fb fb fb fb

Jambatan Batang Lupar dijangka siap Mei 2026 – Uggah

Gambar jambatan Batang Lupar ketika dirakam pada 2025/Foto Alif Noni

SEBUYAU, 5 Oktober - Pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026, sekali gus menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi kawasan pesisir Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata setakat ini kemajuan projek berkenaan telah mencapai 93.7 peratus.

Beliau berkata semua isu yang sebelum ini menjejaskan jadual pembinaan telah berjaya diselesaikan hasil pemantauan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak kontraktor.

“Waktu itu kita ada masalah, jadi sekarang ianya telah selesai. Hari ini mereka maklumkan kepada kita bahawa ‘milestone’ yang ingin dicapai ialah pada 15 Januari 2026.

"Kita akan melakukan stitching untuk menyambung jambatan, dan pada 15 Mei kita berharap dapat mengadakan soft opening untuk jambatan ini.

“Ini satu berita yang sangat baik kerana mereka telah menjalankan kerja dengan amat baik,” katanya.

Uggah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau kemajuan Projek Jambatan Batang Lupar 1 (Pakej D2B) di Sebuyau hari ini.

Beliau turut memuji prestasi pihak kontraktor yang menjalankan kerja dengan baik serta menekankan pentingnya pematuhan terhadap jadual, kualiti dan piawaian keselamatan.

Lawatan itu turut dimulakan dengan sesi taklimat teknikal oleh kontraktor dan agensi pelaksana mengenai status semasa, cabaran serta pelan pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam pada itu, JKR Sarawak menerusi kenyataan berasingan berkata, projek itu dilaksanakan oleh Perbena Emas Sdn Bhd di bawah jajaran Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) untuk memperkukuh infrastruktur pesisir negeri.

Tambah JKR pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan nilai pelaburan kerajaan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

JKR menjelaskan jambatan itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri, malah merancakkan sektor pertanian, perumahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN