fb fb fb fb fb

GSF: Usaha diplomasi PM dihargai, anak muda ucap terima kasih

Muhammad Najwan Abdullah Shahrin (kiri) dan Muhammad Hazim Rahimi Rosly (kanan)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kejayaan membawa pulang 23 aktivis dan sukarelawan Malaysia daripada tahanan rejim Israel terus mendapat reaksi positif daripada rakyat, khususnya golongan muda yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Muhammad Najwan Abdullah Shahrin, 22 tahun, beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti jelas kecekapan dan keikhlasan kepimpinan Perdana Menteri dalam memperjuangkan keselamatan rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bertungkus lumus membawa pulang kesemua 23 aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla."

"Bagi saya, ini membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar pandai bercakap, tetapi benar-benar menunjukkan hasil usaha beliau di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hazim Rahimi Rosly, 23 tahun, turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang menggunakan peranan serta pengaruhnya sebagai Pengerusi ASEAN bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha beliau membawa pulang sahabat-sahabat kita yang ditahan rejim Israel.

"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama berdoa dan menunaikan solat Hajat agar mereka semua selamat kembali ke tanah air,” katanya.

Kedua-dua mereka berpendapat kejayaan diplomasi ini bukan sahaja membuktikan kemampuan Malaysia di pentas antarabangsa, tetapi juga memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat, khususnya di bumi Gaza.

ROSLINA BINTI DIN