SIK, 5 Oktober - Masyarakat Siam di Sik, Kedah menyambut baik pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang disifatkan mampu membantu menjimatkan perbelanjaan harian dalam jangka panjang.
Mereka turut berpendapat kadar 300 liter subsidi petrol sebulan yang ditetapkan kerajaan sudah mencukupi bagi menampung keperluan penduduk luar bandar, selain langkah itu dilihat tepat dalam mengekang ketirisan minyak bersubsidi.
Pengerusi JPKKP Kampung Begia, Ia Lun Endin Chen berkata, pelaksanaan subsidi bersasar tersebut amat menguntungkan masyarakat Siam serta penduduk luar bandar secara keseluruhan. Katanya, pengisian petrol pada harga lebih rendah banyak membantu rakyat, malah jumlah 300 liter sebulan dianggap lebih daripada mencukupi.
“Bagi saya bagus sangatlah... orang Siam pun sokong program ni sebab minyak dah turun, subsidi dimasukkan balik. Jadi kita setuju sangat sebab menguntungkan masyarakat Siam dan masyarakat lain juga. Dapat isi minyak dengan harga rendah dan 300 liter tu memang tak habis kalau guna di kawasan ni saja,” katanya ketika ditemui di Stesen Minyak Batu Lima, Sik.
Ia Lun Endin Chen
Sementara itu, AJK JPKKP Kampung Chong, Giam Aim menyokong keputusan kerajaan menetapkan syarat memiliki lesen memandu bagi menikmati subsidi, kerana ia mampu memastikan hanya pengguna yang layak menerima manfaat.
Giam Aim
“Kalau guna kad pengenalan saja, nanti budak bawah umur pun boleh isi minyak, jadi masalah. Terbaiklah Datuk Seri Anwar buat ni sebab dia ada strategi terbaik untuk pastikan subsidi ni betul-betul sampai kepada rakyat Malaysia yang berlesen,” katanya.
Bagi Aruai Sigon, pelaksanaan sistem BUDI95 merupakan langkah berkesan untuk mengelak ketirisan kepada warga asing, sekali gus memastikan subsidi benar-benar dinikmati rakyat tempatan.
“Sebelum ni ramai warga luar pun boleh beli minyak macam kita. Sekarang bila kerajaan buat sistem macam ni, memang terbaiklah,” ujarnya.
Penduduk lain, Sakda Ai Teng pula menyifatkan kadar 300 liter sebulan mencukupi untuk kegunaan harian masyarakat luar bandar yang berulang-alik bekerja atau mengusahakan kebun dan dusun.
“Untuk kerja biasa, ulang alik kerja, dusun dan sebagainya, 300 liter tu dah cukup sangat untuk kami di kawasan kampung,” katanya.
Sakda Ai Teng
Aruai Sigon
Sementara itu, Pengurus stesen minyak Batu Lima, Hilman Omar berkata, pelaksanaan penggunaan MyKad untuk pengisian petrol RON95 semakin diterima baik oleh masyarakat setempat, terutama dalam kalangan golongan B40.
Menurutnya, sejak pelaksanaan bermula pada 28 September lalu, pihaknya menerima banyak pelanggan yang menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi tersebut.
Hilman Omar
“Kebanyakan pelanggan di sini golongan B40. Jadi sejak mula pelaksanaan hari tu, kami banyak bantu beri penerangan kepada pelanggan supaya mereka faham cara penggunaan sistem subsidi baharu ni,” katanya.
Program BUDI95 merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI dalam menyalurkan subsidi petrol RON95 secara bersasar kepada rakyat Malaysia, sambil mengekang ketirisan kepada pihak yang tidak layak.
Selain pengguna individu, kenderaan awam dan komersial yang diluluskan turut layak menerima manfaat di bawah program berkenaan.