fb fb fb fb fb

KPM perkukuh langkah keselamatan, 700 sekolah selesai audit setakat ini

Fadhlina Sidek (dua, kiri) bergambar dengan poster anti buli pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini / BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 5 Oktober - Sebanyak 700 buah sekolah di seluruh negara telah menjalani proses audit keselamatan setakat ini, sebagai langkah memastikan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah terus terpelihara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses audit yang dijalankan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi.

“Belum lagi sepenuhnya, tapi 700 dah selesai. Jadi, kita akan laporkan dalam tempoh sebulan dua lagi. Audit ini sangat penting untuk melihat komitmen Kementerian memastikan sekolah terus mendapat perhatian, khususnya dalam aspek keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, hasil audit tersebut akan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) merangka pendekatan lebih tuntas bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memaklumkan tahap kesihatan anak-anak kepada pihak sekolah, bagi memastikan keselamatan murid semasa menyertai aktiviti sukan.

“Tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan, bergantung kepada jenis sukan dan persiapan pasukan perubatan yang disediakan. Kita juga ingin mengingatkan anak-anak dan jurulatih tentang keperluan menambah baik aspek keselamatan,” ujarnya.

Beliau ditanya mengenai kematian seorang pelajar ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Ipoh baru-baru ini.

Jelasnya, kejohanan tersebut telah dibatalkan dan akan dijadualkan semula pada Januari depan.

Keputusan itu dibuat bagi memberi penghormatan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16 tahun, yang meninggal dunia ketika menyertai kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan diplomatik membawa pulang 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana kesemua aktivis kita akan dibawa pulang dari Istanbul ke Kuala Lumpur. Ini adalah kejayaan besar hasil kepimpinan diplomatik yang cukup tinggi,” katanya.

Tambah beliau, mesej dan visi misi kemanusiaan tersebut perlu dirancang semula sebagai tanda sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Gaza.

Seramai 23 sukarelawan Malaysia telah berlepas dari Turkiye semalam dan dijangka tiba di tanah air hari ini.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara, yang berlayar ke Gaza bagi menyatakan solidariti serta menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk di wilayah yang dikepung rejim Zionis Israel itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE