fb fb fb fb fb

Kejayaan diplomasi PM, 23 sukarelawan selamat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kejayaan membawa pulang 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Israel disifatkan sebagai hasil usaha diplomasi luar biasa yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kejayaan itu membuktikan kecekapan diplomasi Malaysia, meskipun negara tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel.

"Setelah 23 rakyat Malaysia yang juga sukarelawan diculik dan ditahan rejim Israel di Pelabuhan Ashdod, Perdana Menteri segera berhubung dengan Presiden Turkiye, manakala Menteri Dalam Negeri serta Menteri Luar turut menjalinkan komunikasi dengan beberapa pihak antarabangsa."

"Usaha bersepadu pasukan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ini akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua sukarelawan berjaya dibebaskan dengan selamat", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Bantuan Perayaan Deepavali Sentosa di ibu negara.

Tambah Datuk Fahmi, hasil rundingan berterusan yang digerakkan oleh Perdana Menteri bersama Wisma Putra dan beberapa saluran diplomatik luar, kesemua 23 sukarelawan berjaya dibebaskan dan tiba di Istanbul kira-kira pukul 8.00 malam semalam, sebelum dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah menggerakkan pelan kontingensi penuh, sekiranya sembilan rakyat Malaysia yang berada di gelombang ketiga kapal Conscience ditahan pihak berkuasa Israel.

Menurut Datuk Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, pelan tindakan menyeluruh telah siap disediakan bagi memastikan keselamatan, perlindungan undang-undang serta urusan pemulangan rakyat Malaysia, sekiranya insiden penahanan oleh rejim Israel kembali berlaku.

“Semalam juga Perdana Menteri telah berjaya bercakap dengan semua sukarelawan ini, dan kita akan terus memantau serta menyediakan segala bentuk bantuan bagi menjamin keselamatan mereka.

"Sekiranya perlu, kerajaan akan berusaha dengan gigih untuk membawa mereka pulang. Insya-Allah, kami sentiasa bersedia melakukan apa sahaja yang perlu demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia", katanya.

Terdahulu, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan bantuan sempena perayaan Deepavali kepada seramai 350 penduduk di kawasan berkenaan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan baucar bernilai RM150 kepada setiap penerima yang merupakan inisiatif Parlimen Lembah Pantai bersempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.

ROSLINA BINTI DIN