fb fb fb fb fb

ABIM puji kejayaan diplomasi PM bawa pulang sukarelawan misi GSF

FOTO FB Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas keselamatan dan kepulangan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza, yang dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Türkiye, malam tadi.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kejayaan membawa pulang kesemua sukarelawan itu mencerminkan kecekapan dan ketegasan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pasukan Wisma Putra dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin.

“Kejayaan diplomasi ini membuktikan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin. Pendekatan diplomasi berprinsip yang berteraskan nilai Madani jelas menunjukkan keseimbangan antara tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang membantu dalam proses menyelamat dan rawatan aktivis Malaysia, termasuk bantuan psikologi dan kesihatan yang diberikan sebaik ketibaan mereka di Istanbul.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar usaha diplomasi tinggi yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri dapat diteruskan bagi menuntut pembebasan baki tahanan Global Sumud Flotilla dari negara lain yang masih ditahan rejim Zionis Israel.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh solidariti antarabangsa tetapi juga memperlihatkan kepimpinan moral Malaysia dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan terhadap perjuangan rakyat Gaza perlu terus diperkukuh walaupun Malaysia kini bersyukur dengan kepulangan semua sukarelawan negara.

“Perjuangan untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis dan membebaskan Palestin sepenuhnya mesti diteruskan dengan semangat yang lebih kuat dan istiqamah,” katanya lagi.

ABIM dalam kenyataan itu turut menyarankan agar Malaysia terus menjadi pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi serta misi bantuan kemanusiaan di bawah panji solidariti sejagat.

ABIM turut mendoakan agar urusan kepulangan semua sukarelawan ke tanah air dipermudahkan, selain berharap semangat keberanian mereka menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE