KULAI, 5 Oktober - Penyertaan sukarelawan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), tidak wajar dipolitikkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, masyarakat diseru memberi sokongan jitu terhadap misi mulia GSF dan usaha kerajaan membawa pulang sukarelawan terlibat dengan selamat.
"Jadi saya harap biarlah kita semua memberi sokongan kepada mereka, isu ini tidak perlu dipolitikkan. Kita semua sokonglah usaha mereka dan jugalah usaha-usaha kerajaan untuk membawa mereka pulang.
"Kami memang tidak mahu sebarang kejadian yang tidak elok berlaku dan ini adalah satu misi kemanusiaan. Jadi wajarlah disokong oleh semua orang", katanya.
Tambahnya, sehingga kini, tidak ada data berhubung hantaran mengaitkan GSF, diturunkan di media sosial.
Beliau ditemui semasa Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility Run Event-Run for The Future 2025 di Hutan Bandar, Kulai, Johor.
Seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi GSF, dijangka tiba ke tanah air seawal Isnin ini. Kumpulan misi kemanusiaan itu dijangka menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Istanbul.