fb fb fb fb fb

Jambatan bailey ke Felda Selancar, boleh digunakan Selasa ini

ROMPIN, 5 Mac- Jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang boleh digunakan pada 7 Mac (Selasa).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di facebook rasminya petang tadi.

Beliau berkata, beliau telah meninjau proses pembinaan jambatan bailey yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau melakukan lawatan kerja dengan menaiki helikopter selepas beberapa jalan masuk ke Selancar ditutup akibat limpahan air sungai.


(Foto fb Wan Rosdy bin Wan Ismail)

Pada 1 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar yang runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat.

Sementara itu, Datuk Seri Wan Rosdy turut meninjau jalan masuk ke Selancar dan Perwira Damai yang terputus hubungan akibat banjir.

"Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000.00 bagi membina laluan sementara di Kilang A Felda Selancar 2A yang telah runtuh akibat banjir.

"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan rakyat negeri Pahang serta dilindungi daripada sebarang musibah dan bencana," katanya.

Media Baharu