PUTRAJAYA, 14 Ogos – Media diseru memainkan peranan proaktif dalam mempertahankan maruah Jalur Gemilang sekali gus menyemai kesedaran awam dan melawan naratif negatif yang boleh menggugat identiti negara.
Justeru taklimat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia menerusi taklimat khas 'Jalur Gemilang – Maruah Negara, Amanah Media' merupakan usaha menyemarakkan semangat patriotik sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Taklimat tersebut turut memperincikan sejarah, makna dan protokol rasmi penggunaan Jalur Gemilang, serta menggalakkan penyertaan kempen '1 Rumah 1 Jalur Gemilang'.
Selain itu ia juga menjelaskan perkara berkaitan imej bendera negara dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) memerlukan penelitian terperinci bagi menepati piawaian rasmi kerajaan.
Taklimat yang berlangsung di Menara Komunikasi di sini disampaikan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Anugerah dan Persidangan Antarabangsa, Azman Ishak; Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara Japen, Mohd Sabri Abdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perhubungan dan Pembangunan Masyarakat Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (BPKPM) Japen, Hazlianayati Sudin@Subdin.