ARAU, 5 Oktober - Pengurusan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, di sini menjalinkan kerjasama strategik dengan Pengurusan Masjid Kampung Perlis, Pulau Pinang.
Kerjasama itu adalah dalam usaha mengimarahkan masjid yang membawa manfaat dan kebaikan kepada ahli kariah serta masyarakat setempat khususnya dalam kalangan umat Islam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, menerusi kerjasama tersebut pelbagai program akan dilaksanakan melibatkan kolaborasi antara kedua-dua masjid, melestarikan perkongsian dua hala dalam kecemerlangan amalan terbaik pengurusan masjid dan perlaksanaan perkongsian kedua masjid dalam penganjuran program dakwah, kemasyarakatan dan komuniti.
Kerjasama berkenaan termeterai dengan menandatangani Surat Niat Kolaborasi Masjid Berkembar antara Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail dan Pengerusi Masjid Kampong Perlis Tarmizi Ahmad.
Majlis tandatangan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Baginda turut menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Al-Mursyid Pauh Guring sempena program Hijrah Minda yang berlangsung di masjid tersebut dengan sumbangan RM700 setiap penerima bagi menampung keperluan dan perbelanjaan seharian.