fb fb fb fb fb

Jalan tutup menuju Padang Kota Lama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022

GEORGE TOWN, 28 Ogos - Beberapa jalan menuju ke kawasan Padang Kota Lama, di sini akan ditutup secara berperingkat bermula esok hingga 31 Ogos ini sempena raptai penuh dan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata jalan-jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 12.01 tengah malam ini hingga 2 petang 31 Ogos nanti.

"Bagi raptai penuh esok, jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah iaitu akan ditutup bermula persimpangan masuk Dewan Sri Pinang, Lebuh Light (kenderaan akan dilencongkan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Leith), Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai.

"Semua jalan akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bermula pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 2 petang esok atau selepas raptai penuh perarakan selesai. Seramai 116 pegawai dan anggota polis dibantu beberapa agensi lain terlibat dalam penugasan esok bagi melancarkan perjalanan," katanya pada sidang media di sini.

(FOTO HIASAN)

Katanya untuk hari Selasa, penutupan jalan hanya akan dibuat di laluan masuk ke Dewan Bandaraya Pulau Pinang di Padang Kota Lama iaitu sama ada melalui Jalan Tun Syed Sheh Barakbah atau Lebih Light bermula 12.01 tengah malam hingga 12.59 malam bagi raptai penuh persembahan.

Soffian berkata pada Rabu iaitu pada hari sambutan Hari Kebangsaan, jalan yang ditutup ialah Lebuh Farquhar, Lebuh Light, Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai yang mana ia ditutup bermula pukul 12.01 tengah malam hingga 2 petang atau selepas upacara perarakan selesai.

Katanya seramai 276 pegawai dan anggota polis bersama petugas agensi lain terlibat dalam penugasan pada 31 Ogos itu dan orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka bagi memastikan tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Beliau berkata sebanyak 81 kontijen membabitkan 4,800 orang dan 27 kontijen kenderaan melibatkan 665 buah kenderaan dengan seramai 108 orang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan sebaik mungkin dan mengenal pasti laluan-laluan yang akan ditutup agar tidak terperangkap dalam kesesakan,” katanya. - BERNAMA

Media Baharu