fb fb fb fb fb

Jalan Batang Kali-Genting dijangka dibuka kepada pengguna motosikal seminggu lagi

(Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup berikutan tragedi tanah runtuh pada Jumaat lalu) 

TANAH MERAH, 23 Disember - Laluan Batang Kali-Genting , Hulu Selangor dijangka akan buka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

Bagaimana pun jelas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laluan tersebut turut akan dibuka secara berperingkat kepada kenderaan lain apabila tiba masanya.

Ini kerana pihaknya masih perlu melakukan pemantauan secara keseluruhan di kawasan insiden.

"Pegawai-pegawai tertentu kita di kementerian dan jabatan melihat kepada pergerakan tanah itu, kita kena pastikan keselamatan, itu yang penting, kita tak nak kehilangan nyawa, kita akan benarkan mereka lah tapi kita kena buat kajian dulu, teliti dulu supaya kita dapat pastikan keselamatan bagi kita buka nanti dalam masa terdekat untuk motosikal dulu lah," kata beliau ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan ke Jambatan Kusial, di sini, susulan berlaku runtuhan dan hakisan tebing di bawah jambatan terbabit.

Mengulas lanjut, Alexander berkata semua pihak di minta bersabar dan memberi peluang kepada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja-kerja di kawasan insiden runtuhan bagi memastikan keselamatan kepada pengguna jalan raya.


(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ditemu bual media selepas melakukan
tinjauan ke Jambatan Kusial di Tanah Merah, Kelantan)  
 

Selasa lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).

Dalam tragedi pukul 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Sehingga kini, seramai 30 orang di sahkan meninggal dunia, 61 orang selamat dan seorang lagi mangsa belum ditemui.

Media Baharu