fb fb fb fb fb

94 lokasi bencana dikenal pasti di seluruh negara

TANAH MERAH, 23 Disember- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 94 lokasi bencana yang berlaku di seluruh negara setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah itu, 52 lokasi membabitkan jalan negeri dan 42 jalan persekutuan di lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak.

Alexander berkata 61 lokasi melibatkan banjir manakala cerun runtuh (19 lokasi), jalan runtuh (lima lokasi), jalan mendap (enam lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh (tiga lokasi).

Pembaikan segera akan dibuat mengikut keutamaan.

"Kita perlu menumpukan kawasan-kawasan yang perlu diberi keutamaan. Kementerian akan memberi perkhidmatan terbaik demi keselesaan dan keselamatan pengguna," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke Jambatan Kusial, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah kerugian akibat bencana kali ini belum diperoleh kerana pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat.



(Pembaikan segera akan dibuat mengikut keutamaan)

Mengenai lawatan ke Kelantan, beliau berkata pembaikan segera akan dilakukan di laluan jalan persekutuan FT003 di Seksyen 664.00 iaitu laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu akibat ditenggelami air pada Ahad lalu melibatkan anggaran kos berjumlah RM850,000.

Bagi struktur jambatan Kusial di sini pula ia tidak terjejas dan laluan jambatan dibuka kepada pengguna walaupun berlaku runtuhan dan hakisan tebing pada penutup cerucuk di bawah jambatan itu berikutan hujan lebat Ahad lalu di jalan persekutuan FT004 Seksyen 281.50 Machang - Jeli.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada Bilik Gerakan Bencana yang berfungsi sebagai 'one stop centre' bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh yang melibatkan jalan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) seluruh negara.

Media Baharu